CHRISTMAS AT GAYA STREET AND 1B

CAROLING 2009

PESAN DAN SALAM KRISMAS 2009

Thursday, December 17, 2009

Saudara-saudari.

Sekali lagi Gereja memasukki Krismas melalui Tahun Liturgi kita pada kali ini. Dedikasi pesan dan salam Krismas ini bukan sahaja ditujukan kepada saudara-saudari tetapi saya secara peribadi mahu mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran saya kepada Tuhan kerana pada tarikh pesan ini ditulis adalah hari saya menerima kelulusan pertukaran ke SK Kironggu, Tongod dari SK Segaliud, Sandakan telah dikabulkan setelah berbulan-bulan saya berdoa untuk ini semua.

Saudara-saudari.
Fokus pesan dan salam Krismas saya pada kali ini secara peribadi ialah: "Sabda telah menjadi daging dan tinggal bersama-sama dengan kita." (Yoh 1: 14).

Dunia pada hari ini memerlukan kita meneguhkan iman logos atau iman yang diperolehi daripada sabda Tuhan kerana melaluinya kita perlu mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.

Hodiest, Christus Natus Est. Gloria in Excelsis Deo!
Kemulian kepada Tuhan kerana hari ini Kristus telah lahir!

Pada kesempatan ini, saya menjemput saudara-saudari untuk menghargai cinta kasih Allah Bapa yang begitu besar sekali kepada umat-Nya di bumi ini. Bagi menghargai cinta kasih Allah, pertama sekali wajiblah kita menunjukkan kesyukuran yang lahir dari batin kita melalui perayaan Misa Kudus Malam Krismas. Tidak ada gunanya kita memakai baju yang cantik sahaja untuk menghadiri Misa Kudus sekiranya hati kita tidak secantik pakaian yang kita pakai. Erti kata lain, kita masih lagi menjadi "orang lama" dalam kehidupan kita.

Selain itu, bagi menghargai cinta kasih Allah haruslah menghargai keluarga kita. Keluarga ada anugerah paling besar daripada-Nya. Contohilah Keluarga Kudus - Joseph, Maria dan Yesus. Walaupun kehidupan mereka serba kekurangan namun ia tidak menghalang untuk Joseph dan Maria untuk membesarkan Yesys agar Dia dapat menunaikan tanggungjawab-Nya sebagai Anak Allah bagi menyelamatkan manusia.

Tanda syukur kita kepada Allah adalah wajib kerana dalam Perjanjian Lama, Allah bersama-sama dengan manusia (Bangsa Israel). Perjanjian Baharu kita dapat lihat bahawa Allah diam di dalam kita. Maknanya di sini Dia diam di dalam tubuh kita. Memang sudah layak dan sepantasnya Dia diam dalam tubuh kita melalui Yesus Kristus yang lahir ke dunia. Melalui perayaan Ekaristi, kita memakan roti yang dikonsekrasikan oleh paderi tanda kita menerima Yesus untuk diam di dalam tubuh kita, membiarkan Dia menggunakan tubuh kita untuk memuliakan-Nya, menginjil ke seluruh dunia. Sebab itulah marilah kita menyucikan diri kita melalui Sakramen Gereja kita seterusnya menjemput Yesus masuk ke dalam jiwa dan raga kita.

Saudara-saudari.
Sungguh sayang sekali, banyak keluarga pada hari ini mengalami banyak perpecahan akibat ketidakserasian pelbagai aspek. Ada keluarga yang berpecah akibat penceraian dan mangsa keadaan ialah anak-anak. Apabila keluarga berpecah, malah tidak hairanlah timbul masalah yang berat. Perpecahan ini berlaku akibat daripada keegoan yang tinggi dan tidak ada rasa rendah diri dalam pelbagai isu dalam keluarga.

Oleh itu, marilah kita melihat sekali lagi keluarga kudus Joseph, Maria dan Yesus. Kandang tempat di mana Yesus dilahirkan sebagai tanda kerendahan Tuhan. Senyuman yang dipaparkan oleh Joseph dan Maria sebagai tanda kesukaan besar mereka walaupun dalam keadaan daif bila menyambut kedatangan Anak Manusia. Jadi, palungan Yesus itu sendiri sudah memberikan banyak makna kepada kita agar berdiri teguh walaupun menghadapi rintangan yang besar dalam kehidupan.

Saudara-saudari.
Krismas menjemput kita untuk memberikan persembahan kepada-Nya. Jika dalam Injil kita dapat lihat Raja Dari Timur mempersembahkan emas, kemenyan dan mur. Akan tetapi persembahan yang paling besar adalah menyerahkan diri kita kepada Tuhan selain memberikan wang persembahan kepada Gereja. Mempersembahkan diri kita kepada Tuhan untuk melayani Dia adalah besar berkahnya yang akan dilimpahkan kepada kita secara peribadi dalam kehidupan harian. Hakikatnya ia membolehkan Cinta Kasih Allah mengalir sebebas-bebasnya di dalam diri kita dalam pelayanan.

Saudara-saudari.
Hari ini, kita dijemput untuk melihat Yesus yang dilahirkan di Bethlehem, di kandang yang hina. Kita dijemput untuk melihat wajah yang terpahat pada Joseph dan Maria. Mereka menerima Yesus ke dalam jiwa mereka sepenuhnya. Jadi, marilah kita sama-sama membawa Yesus masuk ke dalam "palungan hati kita", membiarkan Dia diam di dalam hati kita, membiarkan Dia membesar di dalam hati kita serta membenarkan Dia berjalan bersama-sama kita untuk memasuki kerajaan syurga.

Benedetta e santa festa di Natale 2009 per voi !
Selamat Hari Natal 2009 kepada anda semua!



16 Disember 2009

0 comments:

Post a Comment